Monday 19 November 2012

BERSIH IMAN,BERSIH HATI,WAJAH HARMONI..CEWAAAHHHH

Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Alhamdulillah memenuhi timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah pula memenuhi ruang antara langit dan bumi. Solat itu adalah nur. Sedekah adalah petunjuk. Sabar adalah dhiyaa’( cahaya yang panas membakar) dan al-Quran itu merupakan hujah atas amal kebaikan dan hujah atas amal kejahatan. (Hadith riwayat Muslim) Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim ini membicarakan tentang kebersihan Baginda s.a.w memulakan hadis dengan kebersihan untuk menunjukkan bahawa menjaga kebersihan itu sangat penting. Kerana itulah bersih dari sebarang najis dan bersih dari hadas kecil dan besar menjadi syarat kepada sahnya solat. Untuk itu ia mestilah berwuduk ataupun mandi wajib. Baginda s.a.w juga mengaitkan kebersihan dengan keimanan seseorang di mana baginda s.a.w menyatakan kebersihan adalah sebahagian dari iman. Ia bermaksud iman menuntut kita untuk menjaga kebersihan. Kebersihan yang dimaksudkan bukan setakat kebersihan tubuh badan, tempat tinggal dan sebagainya malah hadis ini juga menuntut kita supaya menjaga kebersihan batin. Hadis di atas seterusnya menyebut beberapa amalan kebajikan serta kelebihan-kelebihannya. Hakikatnya, kiranya amalan-amalan tersebut sentiasa diamalkan, akan menjadikan kita seorang yang sentiasa bersih hati dan batinnya. Apakah amalan-amalan tersebut? 1) Ucapan Alhamdulilllah dan Subhanallah Baginda Rasul memulakan dengan amalan yang sangat mudah untuk diucap namun ganjarannya adalah sangat besar dan luas. Jika mengucapkan Alhamdulillah pahalanya akan memberati timbangan. Apabila digandingkan dengan ucapan Subhanallah pahalanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Sangat mudah bukan? Mengapakah ganjarannya tersangat luas? Kalimah Alhamdulillah itu hakikatnya adalah tanda terima kasih kita di atas nikmat yang diberi. Apabila kita mengucapkan Alhamdulillah, ia bermaksud kita memperakui bahawa nikmat-nikmat yang diperolehi, kebaikan dan kesenangan yang dinikmati, kesemuanya adalah dari kurniaan Ilahi. Maka kita telah mengatakan hanya Allah yang berhak menerima syukur itu. Kalimah Subhanallah pula menunjukkan bahawa Allah Maha Suci dan terpelihara dari sebarang kekurangan. Bermakna sesiapa yang menyebut kedua-dua kalimah tersebut dengan sepenuh hati, Insya Allah hatinya bersih dari mengingati yang lain selain Allah. 2) Bersembahyang kerana sembahyang adalah nur. Solat itu menjadi nur petunjuk kerana ia menahan dari perlakuan maksiat dan menegah dari perbuatan yang keji seterusnya membawa kepada jalan yang benar. Bayangkan seseorang yang berada di sebuah tempat yang gelap gelita dan di tangannya ada sebuah pelita. Pelita itulah yang memeliharanya dari terjatuh ke dalam longkang atau tersalah jalan dan akhirnya membawanya ke destinasi yang dituju. Itulah perumpamaan solat di dalam kehidupan. Di dalam sebuah firmanNya Allah telah mengatakan bahawa solat ada peranannya iaitu : Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. (al-Ankabut:45) Kerana itu Allah mengajar kita apabila kita resah gelisah dan rasa kepayahan, mintalah bantuan dengan Allah dengan cara mengerjakan solat dan juga bersabar. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. 3) Bersedekah kerana sedekah itu adalah bukti keimanan Sedekah adalah bukti kepada kesempurnaan iman si pemberi kerana orang yang lemah imannya tidak akan menghulurkan sedekah. Apabila si pemberi sedekah ditanya pada hari akhirat tentang bagaimanakah ia membelanjakan hartanya maka ia akan menjawab dengan bersedekah. Maka tatkala itu sedekah akan datang menjadi bukti di atas kebenaran jawapannya. Sedekah adalah salah satu bentuk penyucian jiwa kerana ia menjauhkan dari sifat kikir dan kedekut. Baginda s.a.w mengatakan sedekah yang paling besar pahalanya ialah kita bersedekah pada saat kita sihat, kikir, takutkan miskin dan berangan-angan untuk menjadi hartawan. Kita juga tidak seharusnya risau perbelanjaan kita tak mencukupi akibat bersedekah kerana baginda s.a.w ada bersabda: Sedekah tidak akan mengurangi harta 4) Bersabar kerana sabar itu adalah sinar cahaya yang terang. (dhiyaa’) Dhiyaa’ adalah cahaya yang mengeluarkan bahang kepanasan dan boleh membakar. Ia ibarat cahaya matahari dan tidak seperti cahaya bulan yang hanya mempunyai cahaya tetapi tidak membakar. Seseorang yang bersabar hakikatnya dia membakar dirinya serta bermujahadah samada mujahdah untuk melakukan kebaikan ataupun menjauhi perkara mungkar. Sabar secara umumnya terbahagi kepada tiga bentuk. Sabar dengan kepayahan hidup serta musibahnya, sabar dalam mentaati Allah dan yang ketiga ialah sabar menjauhi dosa dan maksiat. Dengan adanya sifat sabar, seseorang mampu mendepani kepayahan dan kesukaran dengan penuh tenang dan redha. Dia tidak akan mencela sesiapa kerana dia tahu itu adalah ujian Allah buatnya malah terus berdoa dan berdoa agar Allah mengurniakan yang terbaik buatnya. Dengan sifat sabar juga ia akan berterusan melakukan amalan yang baik pada saat orang lain meninggalkannya. Dia akan tetap menegakkan kebenaran walau orang sekeliling menganggapnya satu keganjilan. Dengan sifat sabar juga dia mampu mengawal serta menahan dirinya dari melakukan dosa dan maksiat. Dia sabar dalam mendidik dirinya dari melakukan kemaksiatan yang dihiasi oleh syaitan dengan pelbagai keindahan dan kenikmatan. Itulah hakikat sabar. 5) Membaca al-Quran Sememangnya dengan mengingati Allah akan menenangkan hati-hati kita. Membaca al-Quran adalah salah satu cara kita mengingati Allah. Selain kita mendapat pahala dengan membacanya, kita akan merasa tenang kerana walaupun tidak memahami maksudnya kerana al-Quran itu mukjizat besar dari Allah. Kita bukan setakat dituntut untuk membacanya bahkan mempelajarinya, mengkajinya dan mengamalkannya. Pada hari akhirat kelak al-Quran akan menjadi saksi atas kebaikan kita kiranya kita mentaati suruhan al-Quran dan menjauhi larangannya. Sebaliknya ia akan menjadi bukti juga ke atas kita kiranya kita melakukan perkara yang bercanggahan dengan ajaran al-Quran. Ibnu Mas’ud ada mengatakan bahawa al-Quran akan datang pada hari Kiamat dan memberi syafaat kepada pembacanya. Al-Quran akan membawa pembacanya ke syurga dan ia akan menjadi saksi hingga menyelamatkannya dari api neraka. Demikianlah pesanan baginda Rasul s.a.w. Kehidupan seharian baginda juga menzahirkan bahawa baginda s.a.w sangat mementingkan kebersihan. Baginda ingin menyatakan bahawa kebersihan adalah lambang kehidupan seorang muslim baik kebersihan jasmani mahupun rohani. Tubuh badan yang bersih bertindak sebagai kunci kesihatan diri manakala hati yang bersih pula adalah kunci kesejahteraan rohani. Apabila pergerakan hati telah sejahtera maka sejateralah pergerakan anggota badan. Apabila hati telah sejahtera maka tidak akan bergerak anggota ini melainkan apa yang dikehendaki Allah. Oleh itu ia akan bersegera kepada keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkaiNya. Ia juga akan menjauhi perkara yang ditakuti akan menjatuhkannya ke dalam perkara yang dimurkai Allah. Kerana apa? Kerana hati adalah raja pada anggota badan. Jika hati kita sihat akan sihatlah tubuh badan dan apabila hati rosak maka akan rosaklah seluruh anggota badan. Nota: HADIS SAHIH Hadis sahih ialah hadis yang memenuhi 5 syarat iaitu: 1- Setiap perawi menerima hadis secara langsung dari perawi sebelumnya 2- Setiap perawinya adil iaitu yang beragama Islam, baligh, berakal, tidak melakukan dosa besar dan menjaga maruah. 3- Setiap perawi mempunyai daya ingatan yang sempurna 4- Hadis yang diriwayatkan tidak bertentangan dengan riwayat perawi yang lebih thiqah darinya. 5- Hadis tersebut tidak mempunyai kecacatan yang tersembunyi Oleh, Ustazah Suriani binti Sudi Ahli Majlis Pembangunan Belia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Sumber: Majalah Iman Bil No.3

No comments:

Post a Comment